Pemimpin PN sambut baik Belanjawan 2021

0
1

PEMIMPIN Perikatan Nasional (PN) menyambut baik Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, petang tadi.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan langkah kerajaan terhadap para majikan dengan insentif bulanan RM1,000 untuk setiap graduan baru yang diambil bekerja selama tiga bulan untuk latihan amali.

“Dan Alhamdulillah…elaun bulanan untuk nelayan akhirnya dipulihkan ke RM300 seperti masa BN (Barisan Nasional) setelah dipotong PH (Pakatan Harapan).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pula berkata Belanjawan 2021 itu antara lain mampu membantu mengurangkan beban kos sara hidup terpaksa ditanggung rakyat.

“Belanjawan 2021 secara umumnya memaknakan kehidupan rakyat, hampir keseluruhan lapisan masyarakat. Semuanya tidak dilupakan dalam belanjawan yang memaknakan sebuah kehidupan dan kelestarian keseluruhannya,” katanya.

Bagi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, beliau berkata pelanjutan Program Subsidi Upah (PSU) selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar memberi keyakinan dan jaminan kepada sumber tenaga kerja di negara ini.

Katanya, PSU memainkan peranan penting sepanjang tempoh enam bulan lalu dan berjaya menyelamatkan lebih 300,000 syarikat dan 2.72 juta pekerja.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan membentangkan Belanjawan 2021 yang disifatkan untuk melindungi rakyat dan perniagaan, membantu mereka untuk melonjak kembali dan menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan.

“Belanjawan 2021 adalah sebuah bajet yang amat prihatin dan inklusif. 

“Diharapkan, ia dapat diagih dengan segera dan saksama, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga, seterusnya memacu pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata secara ringkasnya, dapat melihat usaha kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan Covid-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan, serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang telah terkesan teruk. 

“Belanjawan pada kali ini juga, menumpukan inisiatif kepada golongan yang berpendapatan rendah dan terjejas terutamanya golongan B40, termasuklah  kepada peniaga kecil, petani, nelayan dan pelbagai kelompok kecil sektor ekonomi,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata Belanjawan 2021 turut memberi perhatian kepada agenda pembangunan Islam yang menerima peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi memartabatkan syiar Islam. 

Katanya, selain itu, peningkatan RM3.1 bilion kepada RM11.1 bilion dalam agenda pemerkasaan Bumiputera menunjukkan usaha kerajaan untuk menyokong pembangunan Bumiputera.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Ismail, pula menyatakan Belanjawan 2021 harus dijadikan momentum memperbaiki ekosistem perpaduan Nasional.

Menurutnya, pengurusan tertinggi parti politik perlu merealisasikan perpaduan di kala memerangi wabak Covid-19 dengan semangat perpaduan, hati terbuka dan berjiwa besar.

Bagi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor, beliau mengharapkan Kedah akan berada dalam senarai utama projek pembangunan infra luar bandar yang mendapat dana besar sebanyak RM2.7 bilion.

“Bagi saya, belanjawan yang dibentangkan pada hari ini adalah bersifat inklusif menyasarkan kesejahteraan bagi semua kelompok masyarakat selain bermatlamat untuk mengurangkan beban rakyat dalam menangani impak pandemik Covid-19 yang belum tentu bila akan berakhir,” katanya.