KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Belanjawan 2021 yang dibentang hari ini tidak telus dan sukar diterima kerana tidak mencakupi semua kategori yang memerlukan.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, dari segi cukai korporat dan pendapatan beberapa unjuran angka dilihat agak membimbangkan.
“Beberapa bentuk perbelanjaan untuk propaganda JASA itu menjangkau lebih RM80 juta. Tapi berbanding dengan peruntukkan Orang Kelainan Upaya (OKU), rakyat miskin itu jumlah kecil.
“Bagi saya ini membimbangkan, harus ada sikap lebih telus berdasarkan fakta. Kelemahan paling ketara tidak ada satu lonjakan bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi. Ia tidak memberi gambaran bagaimana untuk merangsang ekonomi supaya boleh hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilihat memihak kepada pihak bank bukan kepentingan peminjam dan rakyat.
Selain itu, katanya, bayaran RM500 dan RM1,000 hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan masalah pengangguran dan membantu golongan pekerja yang dibuang kerja.
“Pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), walaupun ada hujah tentang kepentingan masa hadapan tetapi bila individu itu dalam keadaan sesak jumlah itu perlu diperluaskan bukan hanya satu kategori kecil sahaja,” ujarnya.
Berikut adalah komen Ahli ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkaitan dengan pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.
“Peruntukan JASA hampir 3 kali ganda lebih tinggi daripada peruntukan taska untuk frontliners (RM30 juta). Priorities! (keutamaan),” – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
“JASA RM81.5 juta. PEKA B40 RM80 juta. Tak patut,” –
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil
“Sebenarnya saya ingin mengucapkan tahniah @saifuddinabd kerana dia mencipta pekerjaan dengan gaji tinggi di bawah JASA baharu berbanding dengan pekerjaan lama di bawah BN. Saya harap pekerjaan sebenarnya berteknologi tinggi dengan IR4.0 kerana jumlah peruntukan untuk perkhidmatan & penawaran cukup tinggi,” – Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi
“JASA, agensi propaganda kerajaan yang ditutup oleh Kerajaan PH dihidupkan semula dengan peruntukan Rm81.50 juta. Rakyat nak kebenaran bukan berita propaganda. Kita mesti membantah pembaziran wang rakyat untuk kerja-kerja yang memudaratkan kebajikan rakyat.
“Kita sokong kebajikan keluarga Angkatan Tentera tetapi adakah rumah mereka RM500,000 seunit? Ada pihak yang mengaut keuntungan yg berlebihan?,” – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham
Kenyataan ini diambil terus tanpa suntingan

