Belanjawan 2021: RM30 juta untuk taska di bangunan kerajaan, hospital

0
1

[Belanjawan] KERAJAAN memperuntukkan RM30 juta untuk menyediakan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutamanya di hospital bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat petugas barisan hadapan dan golongan ibu berkerjaya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi sektor swasta, geran padanan sehingga RM20 juta akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di premis mereka.

”Kerajaan sangat menghargai sumbangan wanita kepada negara. Bagi memperkasa usahawan wanita, sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas disediakan melalui TEKUN, MARA dan AgroBank.

“Selain itu, RM50 juta juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, YaPEIM bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.

Sementara itu, beliau menyatakan Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberi kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe.

Katanya, kerajaan juga akan menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak kerajaan.

“Kerajaan menyedari akan pentingnya menangani isu keganasan rumah tangga. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan peruntukan RM21 juta.

“Pusat ini dengan kerjasama NGO akan menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutamanya dalam mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan,” ujarnya. – Malaysiapost