Belanjawan 2021: RM20 juta bangunkan tempat jagaan kanak-kanak

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

[Belanjawan] BAGI meringankan kos sara hidup kumpulan B40 bandar khususnya bagi ibu bapa yang bekerja, kerajaan akan menyediakan Pusat Komuniti sebagai tempat jagaan kepada anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, berkata dengan peruntukan RM20 juta, Pusat Komuniti dengan kerjasama NGO ini turut dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen, perpustakaan mini dan program bimbingan mentor.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM170 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS.

“Peruntukan ini antaranya untuk membiayai Bantuan Makanan Tambahan, Bantuan Per Kapita, penyelenggaraan dan pembaikan Tabika dan Taman Asuhan Kanak-Kanak, TASKA,” katanya dalam Perbentangan Belanjawan 2021.

Sementara itu, bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada warga emas, Tengku Zafrul berkata potongan cukai tambahan akan diberikan kepada majikan yang menggaji warga emas. Potongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2025.

“Tidak sekadar itu, kerajaan juga akan menaikkan bantuan kewangan tahunan bagi pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas yang dikendalikan oleh NGO daripada RM33,000 kepada RM50,000.

“Kenaikan ini diharap dapat memberi manfaat kepada 285 buah pusat aktiviti warga emas di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost