Muhammad Mustakim Ramli
TUN Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan dapat mendengar rintihan peniaga kecil yang terjejas kerana Covid-19 dengan merancang prosedur operasi standard (SOP) yang dapat memulihkan kembali aktiviti ekonomi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau baru pulang dari Langkawi dan pulau berkenaan adalah zon hijau, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di daratan akibat pandemik itu telah menjejaskan industri pelancongan di Langkawi.
Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan hanya dua ke tiga penerbangan sahaja masuk ke pulau itu setiap hari selain perkhidmatan feri berkurangan setelah kawalan pergerakan terbaru dikenakan ke atas Selangor.
“Walaupun beberapa bulan lalu terdapat peningkatan kemasukan pelancong tempatan, malangnya pertambahan mendadak kes Covid-19 telah membantutkan kedatangan pelancong ke Langkawi.
“Peniaga merungut, banyak kedai ditutup, ada yang hanya sementara tetapi ada juga yang gulung tikar. Pusat-pusat pelancongan kelihatan sepi. Kereta sewa banyak yang tersadai kerana ketiadaan pelanggan. Restoran yang dulunya tumpuan pelancong juga sepi.
“Nyata PKP terbaru ini menjejas sektor pelancongan kerana ramai pelancong tempatan, terutamanya dari Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat berkunjung ke Langkawi,” katanya menerusi Facebook.
Dr Mahathir berkata, beliau khuatir kesan jangka panjang kepada ekonomi Langkawi dan kepada kehidupan penduduk pulau berkenaan.
“Sebenarnya terdapat banyak cara dan cadangan untuk memperbaiki ekonomi Langkawi. Tetapi setakat ini kebenaran Kerajaan tidak dapat diperolehi. Mungkin ia disebabkan wabak Covid-19.
“Tetapi jika dirancang dengan mengambilkira SOP Covid, industri pelancongan dan lain-lain industri boleh diperbaiki.
“Ini bukan sahaja boleh dilakukan tanpa peruntukan Kerajaan tetapi boleh menyumbang kepada pertambahan dana Kerajaan,” katanya.
Beliau juga beranggapan pandemik Covid-19 akan ambil masa yang lama, selain tidak mungkin dapat dihapuskan terus dalam masa terdekat.
“Sementara itu, rakyat perlu terus hidup dan menjana pendapatan untuk sara kehidupan serta keluarga. Mereka harus diberi peluang jika tidak negara akan mengalami kehancuran ekonomi.
“Mungkin ada sesiapa dalam Kerajaan yang boleh dengar rintihan peniaga kecil seperti ini dan beri pertimbangan. Saya akan terus berikan idea lain jika ianya dapat membantu,” katanya. -Malaysiapost

