“AWAK baik, ramai sayang awak, ramai mari (datang) tengok awak. Semoga saing (kawan) awak dapat balasan sepadan dengan dia buat ni,” luah teman lelaki Siti Surya Ismail, 19, yang dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Muhammad Haiqal Adnan, 19, memuat naik hantaran sebuah video kenangan bersama mangsa di Instagram miliknya, semalam.
Katanya, dia berterima kasih kepada Surya dan mendoakan kesejahteraan teman wanitanya itu.
“Terima kasih untuk segalanya. Awak rehat dengan tenang ye. Sampai masa giliran saya pulop (pula),” katanya.
Video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan kenangan Siti Surya ketika hayatnya bersama Muhammad Haiqal dan detik menjaga ibunya yang terlantar akibat kanser otak.
Sehingga jam 3.15 petang tadi hampir 2.3 juta sudah menonton selain lebih 14,000 komen yang kebanyakkannya mendoakan lelaki itu bertabah.
Dalam kejadian jam 2.30 petang Ahad lalu, Siti Surya ditemui adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan di ruang tamu di rumah mereka di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Susulan itu, polis menahan suspek berusia 19 tahun yang juga rakan mangsa untuk membantu siasatan.
Suspek yang masih belajar di Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan. -Malaysiapost
Untuk tonton video itu, klik di sini.

