TINDAKAN seorang jururawat pulang ke kampung halaman menjadi punca empat jangkitan baru kes Covid-19 di Kelantan termasuk bayi perempuan berusia 22 hari.
Selain bayi yang juga anak saudara jururawat dari hospital swasta itu, tiga mangsa lain adalah neneknya yang berusia 75 tahun, ibu serta adik kepada jururawat berkenaan.
Difahamkan, jururawat itu pulang ke kampung di Kuala Balah, Jeli bersama seorang rakannya pada Oktober lalu kembali ke Selangor sebelum disahkan positif Covid-19.
Harian Metro melaporkan, sepanjang berada di kampung, jururawat berkenaan sempat bertemu neneknya sebelum pulang ke Selangor.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, susulan kes itu pihaknya melakukan 70 ujian saringan Covid-19 terhadap kontak rapat empat mangsa berkenaan di Kuala Balah, Jeli, sejak Isnin lalu.
Katanya, semua mereka adalah kontak rapat kes sah dari Selangor yang pulang ke negeri ini dan menjangkiti ahli keluarga.
“Kita sudah lakukan ujian saringan kontak rapat di kalangan ahli keluarga selain turut memantau pergerakan mereka yang dijangkiti.
“Sehingga kini pihak kami sudah melakukan sebanyak 70 saringan terhadap kontak rapat terhadap kes ini dan kita berharap keputusan yang akan keluar dalam tempoh terdekat ini adalah negatif,” katanya.-Malaysiapost

