Covid-19: ‘Frontliners’ kelompok pertama terima vaksin

0
1

Fitri Nizam

MALAYSIA dijangka memperoleh bekalan vaksin Covid-19 pada suku tahun pertama 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pembekalan vaksin itu akan diperoleh sebanyak tiga peratus daripada populasi di negara.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, perolehan vaksin sebanyak tiga peratus itu akan diberikan kepada petugas barisan hadapan sebagai wajaran pertama.

“Wajaran pertama ini meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara, imigresen dan beberapa lagi.

“Akses vaksin kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi dan diangkat sebagai keutamaan sejajar dengan vaksin Covid-19 yang dilihat sebagai satu keperluan awam,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 202 calon vaksin sedang dibangunkan di seluruh dunia dengan 10 daripadanya kini berada dalam ujian fasa ketiga.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, rancangan kerajaan melalui jawatankuasa dan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi tahun depan adalah sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat Malaysia mendapat imunisasi vaksin Covid-19.

“Tiga peratus yang diperoleh hanyalah wajaran pertama sebagai ‘fast track priority’.

“Saya memberitahu Menteri Kewangan bahawa sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat Malaysia diimunisasi justeru saya telah minta RM3 bilion untuk disediakan bagi tahun depan,” katanya. -Malaysiapost