China tuntut Malaysia bebaskan rakyatnya sebagai pertukaran vaksin Covid-19

0
1

PERLUMBAAN mendapatkan vaksin Covid-19 mendedahkan kemungkinan berlaku pertikaian melibatkan kerajaan di seluruh Asia Tenggara.

Ia termasuk Malaysia, dengan China sebagai pengeluar yang disasarkan.

Nikkei Asia dalam laporan yang merangkumi perkembangan di beberapa negara Asia Tenggara, menyorot rundingan secara berhati-hati yang dikatakan melibatkan Menteri Luar China, Wang Yi dan Wisma Putra.

Memetik laporan Malaysiakini, Wang Yi dalam lawatannya bulan lalu menjanjikan keutamaan China kepada Malaysia dalam mendapatkan akses vaksin, namun Nikkei melaporkan bahawa ia dibuat dengan permintaan sebagai balasan.

Nikkei memetik seorang pegawai Malaysia yang tidak didedahkan mengatakan Wang Yi telah meminta agar 60 warganegara China yang ditahan dalam enam kapal nelayan kerana menceroboh perairan Malaysia dibebaskan beberapa hari sebelum lawatan beliau.

Malaysia mengatakan mereka akan mempertimbangkan permintaan itu, menurut pegawai rasmi berkenaan.

Mengulas penahanan itu, pegawai kementerian luar China pada waktu itu menggesa pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan yang adil dan melindungi hak warganya.

Wang Yi berada di Malaysia pada 12 Oktober dan 13 Oktober sebagai sebahagian daripada lawatannya ke lima negara di Asia Tenggara.

Satu kenyataan dari Wisma Putra pada masa itu mengatakan pertemuan Wang Yi dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membincangkan status vaksin Covid-19 yang dikeluarkan China, meningkatkan kerjasama ekonomi, kerjasama pasca-wabak dan memperkuat hubungan yang ada dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra dan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, laporan Nikkei menyatakan China memiliki kelebihan dalam menghasilkan vaksin Covid-19, yang kini berada di kedudukan teratas dengan empat daripada 10 calon vaksin dalam ujian klinikal Tahap 3.

Antara lain, ia mengetengahkan ujian fasa 3 syarikat China, Sinovac di sekurang-kurangnya 15 negara termasuk negara jiran Indonesia yang merekodkan lebih 400,000 kes positif Covid-19 dan 14,146 kematian.

Mengingatkan peranan utama China, kebimbangan ditimbulkan berhubung balasan yang sanggup diberikan negara-negara di Asia Tenggara untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan vaksin. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan