Teliti semula PKPP di beberapa negeri – PM

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

PERDANA Menteri berpandangan ada keperluan untuk meneliti semula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi beberapa kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak Covid-19.

Menerusi perkongsian di Facebook, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini beliau berbincang mengenai PKPP yang akan berakhir Disember ini sedangkan situasi semasa masih tidak berubah.

Katanya, sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya sekali lagi melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.

“Saya berpandangan ada keperluan untuk PKPP ini diteliti semula bagi kawasan-kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak COVID-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sidang Dewan Rakyat baru sahaja bermula semalam dan berlangsung dalam keadaan norma baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenal.

“Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat pukul 1 petang sahaja berikutan ada beberapa kes Covid-19 yang membabitkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen.

“Berikutan kes tersebut, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen sendiri kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri pun terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk Ahli-ahli Parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ.

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat menggunakan kebijaksanana beliau untuk menguruskan perkara ini,” katanya.-Malaysiapost