Kerajaan belum bercadang izin jemaah Malaysia tunai umrah

0
1
SEPANG 15 JULY 2016. Kelihatan orang ramai beratur untuk membuat pemeriksaan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke destinasi masing-masing. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KERAJAAN tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia mengerjakan ibadat umrah di Arab Saudi pada masa ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dr Zulkifli (Mohamad al-Bakri, Menteri Hal Ehwal Agama) menjelaskan walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat KKM tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menerusi kenyataan bersama, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Dr Zulkifli berkata kerajaan akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM berkaitan umrah di Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kementerian akan bekerjasama rapat bagi memastikan umat Islam di Malaysia akan turut dapat mengerjakan umrah di tanah suci.

Sebelum ini, Saudi Gazette yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan umat Islam di seluruh dunia berusia antara 18 dan 50 tahun akan dibenar mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar dibuka mulai 1 November ini.

Antara arahan dikeluarkan kementerian itu adalah jemaah perlu menjalani kuarantin tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu dan semua syarikat umrah perlu mematuhi peraturan kementerian serta mengawal kehadiran jemaah dari luar negara.

Selain itu, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas Covid-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata Dr Zulkifli menjelaskan ketetapan mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan. – Malaysiapost