‘Saya bukanlah superman’ – MB Terengganu

0
1

MENTERI Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui mendengar taklimat terkini Covid-19 negeri itu di dalam wad hospital semalam.

Ia tidak sampai 24 jam selepas beliau menjalani pembedahan lutut.

“Tengah hari semalam, tidak sampai 24 jam selepas pembedahan, saya minta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Ketua Polis Terengganu datang ke bilik wad saya untuk memberi taklimat kedudukan terkini Covid-19 dan isu keselamatan di Terengganu.

“Fail-fail di pejabat MB yang memerlukan tugas saya untuk tandatangan juga saya minta dibawa ke bilik wad,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Dr Ahmad Samsuri berkata beliau telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, jika ada perkara yang memerlukan beliau membuat keputusan, ia perlu dibawa terus kepadanya walau semasa berada di dalam kamar wad.

“Kaki tak boleh bergerak dan masih tak boleh bangun berdiri, tapi minda masih kena ‘up to date’ dan masih boleh melaksanakan tugasnya.

“Saya akui kelemahan diri saya dalam perbagai perkara dan bukanlah ‘superman’ yang boleh melakukan berbagai kerja yang luar biasa.

“Tetapi sesungguhnya saya merasa insaf bahawa rakyat senantiasa memerlukan keputusan/tindakan pemimpin kerajaan dalam urusan seharian,” katanya.

Kelmarin, Dr Ahmad Samsuri selamat menjalani pembedahan lutut (ACL Reconstruction and cartilage repair) di sebuah hospital.

Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pembedahan itu dilakukan kesan kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan dari jatuh semasa aktiviti riadah.

Proses penyembuhan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu. – Malaysiapost