DUA pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, terhadap tuduhan melepas dan melupuskan bahan buangan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang.
Kedua-dua tertuduh, Chai Kin Sang, 62, dan Chai Wern Teik, 31, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajuddin.
Mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada premis FG Autoparts Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis showroom syarikat itu di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau, Batu Arang Rawang dekat sini antara 17 dan 19 Oktober lalu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi tuduhan kedua pula, mereka dengan niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari premis sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan kedua-dia tertuduh masing-masing dijamin dengan wang jaminan RM400,000 dengan beberapa syarat tambahan.
Antaranya, mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan bagi serahan dokumen pada 16 Disember ini. -Malaysiapost

