Dua budak lelaki antara tiga maut kemalangan

0
2
ANGGOTA bomba menolong mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

TIGA individu termasuk dua kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan treler terbabas di Jalan Lama Kota Bharu, Gopeng, kira-kira jam 10 malam, semalam.

Mangsa yang maut, pemandu, Hafize Nizam Ali Supian, 30 dan dua anak lelakinya, Mohammad Afif Rafiqi, 9, dan Arrian Nuh, 6.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila treler dipandu mangsa dari arah Kota Bharu menghala Malim Nawar terbabas di lorong kiri dan melanggar tiang elektrik serta besi penghadang jalan sebelah kiri jalan.

Hasron berkata, susulan itu ketiga-tiga mangsa tersepit dengan kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan, jam 10.28 malam tadi dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah treler membawa muatan simen terbabas di bahu jalan menyebabkan tiga orang mangsa tersepit.

“Anggota mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kedudukan lori treler dalam keadaan terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut menerima bantuan daripada anggota dari BBP Kampar.

“Keseluruhan operasi tamat pada jam 2.19 pagi,” katanya. -Malaysiapost.