Parlimen ‘panas’ kerana sidang dipendekkan

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

SIDANG Dewan Rakyat pada hari pertama menyaksikan situasi ‘panas’ membabitkan Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Aksi tegang bermula selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan sesi persidangan hari ini akan ditamatkan awal pada jam 1 tengah hari, susulan penularan Covid-19 dalam kalangan kakitangan Dewan Negara.

Susulan itu, M Karupaiya (PH-Padang Serai) secara spontan meminta kerajaan ditukar selepas Azhar memaklumkan isu yang dibangkitkan sebelum itu sedang diperhalusi pihak kerajaan.

Berang dengan kenyataan itu, Azhar mempersoalkan apa kaitan kenyataan Karupaiya dengan perkara yang dibangkitkan.

“Apa kena mengena dengan… kita ada usul 121 yang sepatutnya saya kemukakan masalah ketika perbahasan,” katanya.

Namun, kenyataan Azhar itu menerima kritikan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang berpendapat speaker tidak perlu menjawab soalan anggota dewan bagi pihak menteri.

“Speaker jangan jawab soalan bagi pihak menteri boleh tak?” katanya.

Azhar menegaskan, beliau menjawab kenyataan itu kerana sedang mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung.

“Siapa jawab? Saya beri penerangan kerana saya yang pengerusikan mesyuarat itu,” katanya.

Bagaimanapun, jawapan itu terus menimbulkan rasa kurang senang Hanipa.

“Sudahlah, speaker, kami dah penat dengan sikap kamu,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin berkata langkah memendekan waktu persidangan dibuat berdasarkan nasihat wakil Kementerian Kesihatan.

Ia juga mendapat persetujuan ketua whip semua parti menerusi mesyuarat tergempar dengan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pagi tadi. – Malaysiapost