SEORANG remaja perempuan yang menjaga ibunya terlantar sakit ditemui mati di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, Hulu Terengganu hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumah tersebut dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada muka serta badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi dan mayat mangsa ditemui adik bongsunya yang berusia 15 tahun sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.
“Siasatan mendapati kediaman mangsa dipercayai dirompak kerana sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, dua beg tangan serta dua telefon bimbit telah hilang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek adalah individu yang dikenali keluarga mangsa.
“Berdasarkan kejadian, kita dapati ia mungkin dilakukan suspek secara berseorangan dan polis giat memburu suspek,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata, ketika kejadian beliau tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.
“Dia memang sentiasa ada di rumah sebab jaga isteri saya sakit. Isteri tidak boleh bergerak dan terlantar sejak setahun lalu.
“Saya keluar bekerja jam 7 pagi tadi, tetapi waktu itu tak sempat pun jumpa dan bercakap dengan dia (mangsa),” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost
Foto : Kredit Sinar Harian (ihsan pembaca)

