SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menolak dakwaan sesetengah pihak yang membuat kenyataan Menteri Umno teruk ‘dibelasah’ oleh barisan Kabinet kerana tidak menyokong cadangan pelaksanaan darurat kesihatan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan dakwaan itu tidak benar dan ‘mengarut’.
“Ini karut… sangat tidak benar,” katanya dalam ciapan di laman Twitternya, hari ini.
Difahamkan kenyataannya itu merujuk kepada catatan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di laman sosial Facebooknya hari ini, konon menteri Umno ‘dibelasah’ semasa mesyuarat Kabinet menerusi aplikasi Zoom kerana mereka tidak menyokong usaha mendapatkan pengisytiharan darurat.
Selain itu, Dr Mohd Puad dalam kenyataan turut mempersoalkan kejujuran politik Muhyiddin dan meminta Perdana Menteri tidak berdolak dalik.
“Kalau ada ‘kejujuran politik’ sudah tentu menteri-menteri Umno tidak dibelasah dalam “Zoom Cabinet Meeting” Rabu lalu.
“Umno jadi sasaran kerana menterinya menyokong keputusan Majlis Raja-Raja yang menolak pengisytiharan darurat. Kononnya menteri Umno tidak mengamalkan ‘collective responsibility’.
“Itu sebabnya Biro Politik Umno cadangkan terma baharu dan hitam putih. Umno mahu hubungan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berasaskan konsensus parti dan kejujuran politik,” katanya.- Malaysiapost

