Fitri Nizam
SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyokong gesaan Majlis Peguam supaya kerajaan menggubal undang-undang anti lompat parti.
Beliau turut menyifatkan gesaan itu sangat sesuai kerana mandat diberikan rakyat atas nama parti.
“Usah milik peribadikan mandat itu dengan melompat sana sini.
“Malah untuk serah borang pencalonan, watikah guna lambang parti wajib diserahkan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Bolehkah melarikannya bila menang?,” ciapnya di Twitter.
Pada ciapan itu, Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengepilkan laporan sebuah portal berhubung gesaan Majlis Peguam.
Bernama melaporkan bahawa, Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir ketika menggesa kerajaan mempertimbangkan menggubal undang-undang anti lompat parti berkata, Malaysia berdepan beberapa pergolakan politik yang serius sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Majlis Peguam berpandangan bahawa tidak ada sekatan bagi Parlimen untuk menggubal undang-undang anti lompat parti di peringkat persekutuan, meskipun ia bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan menentang Nordin bin Salleh dan seorang lagi.
“Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan.
“Namun turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10(2) ialah Parlimen, melalui undang-undang, boleh mengenakan sekatan yang dianggap perlu atau bermanfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian daripadanya, ketenteraman awam atau moral.
“Kami berpendapat bahawa beralih parti selepas diundi rakyat merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada mereka.
“Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara kita,” katanya. – Malaysiapost

