AHLI Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pulau peranginan itu akan terus kekal bebas daripada Covid-19.
Bekas Perdana Menteri berkata keadaan itu akan memastikan aktiviti perniagaan tidak terganggu selain dapat membantu ekonomi tempatan.
“Langkawi dikategori sebagai zon hijau, tiada kes Covid-19 dilaporkan.
“Perniagaan berjalan seperti biasa dan peniaga patuh kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya menerusi catatan di Facebooknya malam tadi.
Beliau pulang ke kawasan Parlimennya semalam dan turut meninjau tapak perniagaan serta bertemu dengan golongan peniaga di pulau berkenaan.
Sebelum itu beliau melawat Lang Agro Park, iaitu kebun yang menanam pelbagai buah-buahan dan dipasarkan di pulau tersebut. – Malaysiapost

