Kerajaan kena bantu penduduk Sabah untuk duduk di rumah – Najib

0
2

PENULARAN Covid-19 di Sabah tidak akan mudah terkawal di kawasan hotspot pandemik itu dan penduduk tanpa dokumentasi selagi mereka tidak dibantu untuk duduk di rumah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga perlu memberi bantuan tambahan RM1,000 khusus melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada warga Sabah.

“Kerajaan Sabah juga perlu wujudkan tabung Covid Sabah supaya kita boleh salurkan sumbangan kepada NGO-NGO tempatan Sabah untuk mereka membantu termasuk penduduk yang tidak berdokumen.

“Mana mungkin kita biarkan bukan warganegara mati kebuluran di atas tanah Malaysia?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Najib turut berkongsi keratan laporan media yang menyebut ada penduduk di Semporna terpaksa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk mencari makanan.

Najib berkata, PKPD yang lebih ketat berbanding Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah dilaksanakan di Sabah lebih sebulan.

“Sekadar memberi bakul makanan sahaja tak cukup. Berapa lama bakul makanan mampu bertahan?,” katanya.

Kes harian Covid-19 di Sabah terus menjadi penyumbang kes baharu tertinggi di Malaysia, termasuk 352 kes yang direkodkan semalam.