LAGENDA UFC Khabib Nurmagomedov mendedahkan Presiden UFC, Dana White merayu kepadanya untuk mempertimbangkan semula persaraannya.
Agensi melaporkan, sejurus selepas melengkapkan kemenangan ke atas Justin Gaethje bagi mempertahan kejuaraan lightweight, Khabib mengumumkan persaraannya dari arena itu.
Ia ternyata mengejutkan banyak pihak termasuk kru pasukannya, tetapi atlet berusia 32 tahun itu mendedahkan dia sudah berjanji dengan ibunya untuk mengambil keputusan pada perlawanan terakhirnya itu.
Kini atlet seni bela diri campuran (MMA) yang tidak pernah tewas itu berkata ‘misi selesai’ dan dia dapat bersara pada ‘kemuncak kerjayanya’.
Khabib berkata: “Sudah tentu Dana White mahu saya terus bertarung dan mendapat lebih keuntungan.
“Saya boleh mencari wang sendiri. Saya berada di kemuncak kerjaya dan saya masih boleh bertarung, tetapi saya sudah mengambil keputusan. Saya fikir ini adalah masa terbaik.
“Tidak semua orang boleh bersara pada waktu kemuncak kerjaya mereka, tetapi saya sudah memikirkannya dan pasti berdepan situasi seperti ini lagi.
“Saya sudah melakukan banyak perkara dalam sukan ini dan boleh dikatakan antara terbaik. Hari ini, saya berada dalam ranking nombor satu atlet pound-for-pound, jadi misi sudah selesai.
“Apa lagi yang perlu dilakukan? Mencari wang? Saya akan sentiasa mampu melakukan itu,” katanya.-Malaysiapost

