OPERASI kilang memproses makanan berhampiran Kampung Baru Balakong, Kajang diarahkan tutup kerana menyebabkan air Sungai Balak menjadi putih dan berminyak.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan itu diambil selepas siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mengesan kejadian berkenaan.
“Aduan tular berhampiran Kampung Baru Balakong. Air sungai warna putih dan berminyak mengalir berterusan ke Sungai Balak.
“JAS Selangor membuat siasatan dan mendapati sebuah kilang memproses makanan melepaskan air warna putih menerusi saluran paip bawah tanah. Operasi kilang diarahkan berhenti,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata siasatan sedang dijalankan susulan laporan dari pegawai JAS Selangor semalam berkaitan insiden pencemaran tersebut.
Pada 28 Oktober lalu, polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes pencemaran air di alur sungai, Jalan KB 1/10, juga di kawasan Kampung Baru Balakong. – Malaysiapost

