Petugas media hadir program KM Pulau Pinang jalani saringan Covid-19

0
1

SEORANG petugas media yang membuat liputan sidang media di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang semalam, disahkan kontak rapat kepada satu kes positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Ketua Menteri Pulau Pinang yangbmemaklumkan petugas media tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengesahkan sama ada dirinya dijangkiti ataupun tidak.

Menerusi kenyataan hari ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata Pejabat Ketua Menteri telah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk pengesahan dan mendapatkan panduan lanjut.

Pejabat Ketua Menteri dimaklumkan bahawa;

(i) Adalah disahkan bahawa petugas media berkaitan telah menjalani ujian saringan pada hari ini ekoran menjadi kontak rapat kepada salah satu kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini.

(ii) Semua individu yang berada di majlis sidang media berkaitan adalah dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan luar, berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar dan pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa bekerja atau berada di tempat awam.

(iii) JKNPP memaklumkan bahawa arahan kuarantin hanya akan dikeluarkan kepada kontak rapat kes yang disahkan positif Covid-19.

(iv) JKNPP akan berhubung rapat dengan Pejabat Ketua Menteri berhubung keputusan ujian saringan dan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Kon Yeow meminta semua pihak untuk terus bersama kerajaan negeri dalam mengekang penularan Covid-19.

“Jangan viral maklumat-maklumat yang bukan daripada sumber yang sahih sehingga mencetuskan situasi panik yang tidak sepatutnya,” katanya. – Malaysiapost