Nilam Oshman
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti lima kluster baharu hari ini membabitkan negeri Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan.
Dua daripada kluster terbabit adalah di Sabah iaitu Kluster Sakti di Lahad Datu dan Kluster Tuguson di Kota Belud, selain Kluster Bah Medan dan Taman Laut di Selangor serta Kluster Taman Bunga di Negeri Sembilan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks bagi Kluster Sakti iaitu kes ke-12,995 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 5 Oktober lalu.
Setakat hari ini, katanya, 18 kes dikesan positif dengan tujuh kes baharu dan 101 individu negatif.
“Bagi Kluster Tuguson, kes indeks iaitu kes ke-19,066 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober di mana 18 kes dikesan positif.
“Bagi Kluster Bah Medan melibatkan daerah Sepang di Selangor, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-12,112 dikesan positif hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 Oktober di mana 20 kes dikesan positif.
“Kluster Taman Laut pula melibatkan daerah Petaling di Selangor, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-25431 dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober di mana enam kes dikesan positif dan 18 individu negatif,” katanya.
Tambah Dr Noor Hisham, Kluster Taman Bunga melibatkan daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu di Negeri Sembilan.
“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-27,711 dikesan hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober di mana 23 kes dikesan positif dengan 16 kes baharu dan 25 individu negatif,” katanya. – Malaysiapost

