Belanjawan: PM perlu mulakan konsultasi biparti segera – Fuziah

0
1

WANITA PKR meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan proses konsultasi biparti antara kerajaan dan pembangkang demi kepentingan negara.

Ketuanya, Fuziah Salleh berkata pihaknya berpandangan bahawa kerapuhan dan ketidakstabilan kerajaan mendorong kepada keperluan mendesak agar proses konsultasi biparti dimulakan.

Katanya, ia juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong yang menyarankan agar kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2021.

“Oleh yang demikian, Wanita Keadilan mendesak demi mempertahan prinsip semak dan imbang serta semangat demokrasi sebagai tunjang institusi Parlimen, adalah wajar ketika ini Perdana Menteri memulakan proses konsultasi tersebut.

“Dan memberikan ruang kepada semua ahli Parlimen untuk meneliti keseluruhan Belanjawan yang dicadangkan oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fuziah berkata, dalam mendepani cabaran Covid-19 dan implikasi pasca pandemik yang masih melingkari kehidupan rakyat, Wanita Keadilan juga berpandangan Belanjawan yang dicadangkan mestilah menumpukan kepada kesejahteraaan rakyat.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, ia khususnya yang terkait rapat dengan isu pengangguran kritikal dalam kalangan belia, kehilangan pekerjaan serta unjuran kemiskinan multi dimensi yang meningkat.

“Wanita Keadilan juga bertegas bahawa Belanjawan yang akan dibentangkan mestilah inklusif, melindungi golongan rentan serta responsif gender khususnya melihat kepada isu-isu sosial yang terkait dengan impak pandemik.

“Kekuatan Parlimen sebagai institusi yang melaksanakan prinsip semak dan imbang mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan dan dalam masa sama Wanita Keadilan menggesa proses konsultasi biparti dimulakan segera oleh kerajaan tanpa lengah demi kepentingan negara,” katanya. – Malaysiapost

Ahli Parlimen Kuantan dan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh