Muhammad Mustakim Ramli
BEKAS Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keputusan Sabah Development Bank (SDB) memberi pinjaman RM300 juta kepada AirAsia Berhad.
Mohd Shafie berkata, sebagai bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, beliau sedar tiada apa-apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman itu.
In kerana, katanya, permohonan bukan dibuat dalam tempoh semalaman sebaliknya SDB telah melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh sebelum memberikan kelulusan.
“AirAsia Berhad adalah syarikat berdaftar di Bursa Malaysia, justeru sebarang urusan transaksi bernilai RM300 juta sudah tentu kelulusan diberi selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon.
“Sebagai syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat tersebut menyasarkan mencipta sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.
“Syarikat penerbangan itu merancang beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali OurFarm, selaras sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui perniagaan digital atau e-commerce,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden Warisan itu berkata, AirAsia juga merancang membelanjakan RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka.
Katanya, segala perancangan AirAsia itu tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan.
“Malah semasa saya menjadi Ketua Menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 dilancarkan untuk menjadikan Sabah pengeluar produk pertanian selain memastikan jaminan makanan bagi negara.
“Dengan adanya bekalan produk pertanian, para petani kita tentu mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.
“Untuk memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting justeru AirAsia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk itu dapat sampai ke destinasi dengan cepat sebelum rosak,” katanya.
Dalam sektor pelancongan pula, katanya, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali sekiranya sasaran AirAsia menjadikan negeri ini sebagai hab antarabangsa menjadi realiti.
Beliau berkata, semua pihak perlu sedar sebelum Covid-19 melanda, ekonomi Sabah meningkat pesat dalam sektor pelancongan dan rakyat menerima limpahan ekonomi tidak terbatas di semua peringkat bukan sahaja di Kota Kinabalu, malah melimpah sehingga ke Pantai Timur Sabah.
“Sebagai pentadbir negeri, kita tidak boleh bergantung satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines semata-mata, sebaliknya peranan syarikat lain terutama AirAsia tidak boleh diperkecilkan.
“Sehubungan itu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab memajukan ekonomi, kerjasama erat perlu dilakukan dengan AirAsia kerana jika perancangan mereka berjaya, rakyat Sabah sendiri akan menerima manfaat,” katanya.
AirAsia Group Bhd sebelum ini mengesahkan syarikat penerbangan itu memperoleh pinjaman RM300 juta daripada SDB dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan.
Bagaimanapun, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri menggesa kerajaan Sabah menghentikan pinjaman yang diluluskan anak syarikatnya, SDB kepada AirAsia. – Malaysiapost

