Muhammad Mustakim Ramli
TIGA kampung di daerah Kudat, Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini sehingga 12 November.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga kawasan itu adalah Kampung Pangaraban, Kampung Tanjung Kapur dan Kampung Landung Ayang.
“Mengambil kira peningkatan kes di ketiga-tiga lokaliti ini dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di tiga kampung itu mulai 30 Oktober sehingga 12 November.
“PKPD bagi tiga lokaliti ini merangkumi sebanyak 2,393 unit rumah melibatkan seramai 13,884 penduduk,” katanya pada sidang media harian, hari ini.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti diumumkan di tempat lain sebelum ini.
“Bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.
“Pengurusan Bencana Negeri Sabah akan koordinasikan bantuan makanan kepada penduduk berkaitan,” katanya. – Malaysiapost

