Pembeli terima baju tanpa label jenama, Elizabeth Tan kecewa

0
2

PENYANYI dan pelakon, Elizabeth Tan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila baju keluarannya yang dijual di sebuah platform e-dagang terkenal tidak disertakan label jenama.

Menurutnya yang mesra disapa Lizzy, situasi itu berpunca daripada pihak pengeluar baju yang gagal membuat semakan terlebih dahulu sebelum proses penghantaran kepada pembeli.

Menerusi hantaran di laman Instagram (IG), terpancar riak sedih dan kecewa kerana baginya itu kecuaian yang besar, malah dia mengeluarkan modal yang tinggi untuk kualiti jenama baju itu.

“Saya betul-betul kecewa selepas sedar pihak itu tak letak ‘tag’ jenama kat bawah baju. Sepatutnya ada tag.

“Dia janji nak QC (kawalan kualiti) dan dah janji untuk QC semua. Saya bayar dia banyak.. modal saya bukan sikit,” katanya semalam sambil menangis ketika berkongsi perkara itu.

Dalam hantarannya yang lain hari ini, penyanyi lagu ‘Semua Sudah’ itu mengakui semalam sedikit emosional kerana sedih apabila perniagaannya yang pertama mempunyai masalah sebegitu.

Katanya, IZZI adalah 100 peratus jenama pakaian yang diusahakannya sendiri tanpa bantuan pihak lain.

“Semalam, Lizzy emosi sikit kat ‘Story’. Itu kerana IZZI adalah perniagaan saya, ‘bayi’ saya. Bukan ada ‘founder’ atau orang tolong kat belakang. Semua saya uruskan sendiri.

“Lizzy mahu berikan yang terbaik dan yang berkualiti sahaja untuk kamu semua. Saya minta maaf untuk masalah kecil yang telah terjadi. Kalau sesiapa yang mahu tukar atau ‘refund’ boleh rujuk kepada Lazada.

“Sesiapa yang belum sempat beli lagi, boleh buat pembelian. Kita ada 20 helai baju yang baharu dan mempunyai tag label,” katanya hari ini.

Pelakon siri ‘My Darling, Inspektor Daniel’ itu juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan memberi kata-kata semangat kepadanya semalam.

“Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang sokong Lizzy dan Lizzy minta maaf dan akan ambil ini sebagai pengajaran masa hadapan,” ujarnya. – Malaysiapost