Nurul Huda Abhar
BERITA kemangkatan putera Sultan Brunei Pengiran Muda Haji Abdul Azim mengejutkan ramai pihak kerana sebelum ini Almarhum tidak mendedahkan mempunyai sebarang sejarah penyakit.
Persoalan mengenai penyakit yang dihadapi putera itu menjadi perbincangan di media sosial sehingga adindanya, Pengiran Muda Abdul Mateen mendedahkan punca sebenar kemangkatan abangnya di laman sosial Instagram (IG).

Menerusi catatan yang dimuat naik di IG, beliau berkongsi mengenai penyakit yang dihadapi oleh abangnya, meskipun selama ini kisah berkenaan tidak didedahkan kepada umum.
“Awal tahun ini, abang saya disahkan mengidap ‘systemic vasculitis’ yang merupakan penyakit autoimun. Penyakit autoimun adalah keadaan sistem imun yang tidak normal di mana antibodi menyerang tisu badannya sendiri.
“Pada masa yang sama, dia juga menghadapi gangguan bipolar yang membuatkan semangat juangnya semakin sukar,” tulisnya semalam.
Tambahnya, keadaan tersebut menjadi lebih parah akibat daripada komplikasi yang dihadapi Pengiran Muda Haji Abdul Azim.
“Akhirnya, abang saya mengalami banyak kegagalan organ yang disebabkan oleh jangkitan berterusan, berpunca daripada sistem autoimun yang membawa kepada kemangkatannya pada pagi 24 Oktober.
“Kami ingin berkongsi maklumat mengenai penyakit ini kerana saya tahu inilah yang diinginkan oleh abang saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Pengiran Muda Abdul Mateen juga mengimbau kembali kenangan mereka semasa kanak-kanak, dan menceritakan keperibadian abangnya yang sentiasa ceria.
Mengakui sunyi dengan kehilangan itu, beliau turut memberitahu abangnya banyak memberi tunjuk ajar sepanjang mereka membesar bersama.
“Hari tidak akan sunyi bila Abang Azim ada bersama. Dia selalu prank, buat lawak dan tidak terlalu serius menjalani kehidupan.
“Gelak tawanya sering buatkan orang lain berasa lucu tidak kira perkara itu kelakar atau tidak, semua orang akan ketawa bersama.
“Saya sering habiskan zaman kanak-kanak bersama abang, dia banyak mengajar saya dan buatkan saya seperti hari ini. Oleh kerana itu, saya sangat bersyukur,” katanya lagi.
“Saya sering habiskan zaman kanak-kanak bersama abang, dia banyak mengajar saya dan buatkan saya seperti hari ini. Oleh kerana itu, saya sangat bersyukur,” katanya lagi.

Beliau yang mempunyai 2.3 juta pengikut di laman IG turut menzahirkan penghargaan kepada semua doa dan ucapan takziah yang diterima.
“Kami tahu Allah SWT lebih sayangkan dia. Kami okay, kami cuma merindui dia. Sehingga kita berjumpa lagi bang,” ujarnya.
Pada 24 Oktober lalu, Radio Televisyen Brunei melaporkan Pengiran Muda Haji Abdul Azim, 38, mangkat pada jam 10.08 pagi waktu tempatan dan dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas waktu Asar. – Malaysiapost

