Covid-19: Kerajaan tangani isu rakyat diberhenti kerja di Singapura

0
2

SATU Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan Kementerian Sumber Manusia bagi menangani isu pekerja Malaysia di Singapura yang diberhentikan susulan penularan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata ketika ini dianggarkan 400,000 rakyat Malaysia bekerja di negara jiran itu, dengan 300,000 daripada mereka menetap di sana dan selebihnya berulang alik antara Johor Bahru ke Singapura.

Katanya, penularan wabak Covid-19 dan peningkatan kes di Singapura menyebabkan ramai pekerja Malaysia di negara itu mulai terjejas apabila sebilangan majikan memberi notis penutupan sementara syarikat, antara dua minggu dan sebulan sejak Februari lalu.

“Penularan Covid-19 menyebabkan berlaku peningkatan statistik pemberhentian kerja rakyat Malaysia di Singapura.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dan Kementerian Sumber Manusia menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura.

“Objektif penubuhan jawatankuasa ini untuk mengenal pasti strategi dan pelan tindakan dalam usaha membantu mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU); Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kerajaan Johor; Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA); serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia dan mesyuarat pertamanya dijangka pada 30 Oktober ini. – Malaysiapost