Nurul Huda Abhar
KUASA Usaha Sementara Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur telah dipanggil ke Kementerian Luar Negeri bagi menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.
Kementerian itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama.
Kenyataan itu turut memberitahu, semasa pertemuan tersebut, Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.
“Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak-hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain.
“Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat,” kata kenyataan itu, hari ini.
Justeru, katanya, dalam hal ini Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati diantara agama dan mencegah ekstremisme agama.
Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataan sebelum ini berkata Malaysia mengutuk keras tindakan retorik serta provokatif yang memfitnah agama Islam, sekali gus sangat memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam.
“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia selagi ia digunakan secara bertanggungjawab serta penuh hormat, sekali gus tidak menafikan dan melanggar hak pihak lain.
“Dalam konteks ini, mencemarkan dan mengecam Nabi Muhammad SAW yang paling mulia dalam Islam serta mengaitkan Islam dengan keganasan, telah melangkaui batas hak berkenaan.
“Tindakan itu bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya. – Malaysiapost

