Dr Noor Hisham akui alami kelesuan, tekanan lawan Covid-19

0
2

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui beliau turut mengalami kelesuan mental dan fizikal akibat tekanan tugas melawan pandemik Covid-19 sehingga mengalami kesukaran untuk tidur.

Beliau juga memberitahu kelesuan bukan hanya dialami oleh petugas barisan hadapan yang bekerja di lapangan.

“Memang (mengalami kelesuan). Termasuk KP (Ketua Pengarah) Kesihatan juga terkesan.

“Semalam tidak boleh tidur kerana pelbagai aktiviti yang kita kena fikir bagaimana kita boleh selesaikan masalah ini,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Menurutnya beliau, biarpun diberi waktu untuk berehat, namun tanggungjawab terhadap tugas memaksanya untuk terus bekerja.

“Kadang-kadang malam tak boleh tidur…bangun jam 3 atau 4 pagi untuk fikirkan masalah,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku menjadi cabaran kepada kesemua barisan petugas hadapan.

“Mungkin kita kena bijak mengatur penggiliran dan memberi masa untuk petugas kesihatan berehat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung laporan portal mengenai ada doktor yang bertugas di hospital di Sabah terpaksa mengambil pil tidur selepas mengalami tekanan mental akibat kerja berlebihan.

Mengulas lanjut, beliau kata, seramai 1,099 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara pada 23 Januari lalu.

“949 kes mendapat jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang pegawai perubatan yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Sabah terpaksa mengambil pil tidur selepas mengalami tekanan di tempat kerja, selain terdapat jururawat yang menangis akibat tekanan yang sama. – Malaysiapost