Umno terus mendokong kerajaan PN, tolak kerjasama dengan PKR, DAP

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat MKT berlangsung di bangunan Umno yang berakhir tengah malam ini.

Ahmad Zahid menerusi kenyataan berkata Ahli Parlimen UMNO juga akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Umno menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ketetapan lain yang diputuskan MKT Umno ialah:

– Menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang.

– Mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani Covid-19 dan kesan negatif ekonomi dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

– Menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan. Bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.

– Mendokong sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

– Memastikan ketetapan Perhimpunan Agung Umno untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan.