KLUSTER Kaya yang bermula di tempat kerja mencatatkan 152 kes baharu hari ini, sekali gus mencecah 274 kes sehingga kini.
Kluster Kaya melibatkan kes merentas Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Kes-kes bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 24 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain Kluster Kaya, terdapat 37 lagi kluster aktif yang melaporkan kes baharu hari ini termasuk Saguking (55) Melati (36) dan Titir (23).
Katanya, terdapat penurunan sebanyak 485 kes baharu hari ini bagi kes-kes yang berkaitan kluster penjara iaitu daripada 508 kepada 23 kes.
“Daripada jumlah ini, 15 kes adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Kepayan (7); dan Kluster Penjara Reman (1),” katanya dalam sidang media hari ini.
Kluster Tembok antara yang mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi iaitu 1,679, diikuti Kluster Penjara Kepayan (1,669), Kluster Penjara Reman (455), Kluster Tujuh Serangkai (375), Kluster Sentral (361) dan Kluster Utama (229). – Malaysiapost

