Muhammad Mustakim Ramli
HARGA minyak sawit mentah (MSM) Malaysia menunjukkan tren peningkatan ketara apabila melebihi paras RM3,000 se tan.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, harga purata MSM melonjak kepada RM3,134 se tan pada 26 Oktober berbanding paras terendahnya pada 2020, iaitu RM2,021.50 se tan pada 12 Mei dengan peningkatan RM1,112.50 se tan atau 55 peratus.
Katanya, peningkatan harga itu didorong faktor permintaan MSM global yang tinggi daripada pembeli utama termasuk India dan China.
“Permintaan MSM dari India dijangka terus meningkat bagi menambah bekalan stok minyak sayuran di pasaran domestiknya sebagai persiapan untuk Festival Diwali pada November ini.
“Malah, permintaan MSM dari China dijangka terus meningkat menjelang Festival Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) dan Minggu Keemasan (Golden Week) bermula Oktober ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, Ahmad Jazlan berkata pengukuhan harga minyak kacang soya (SBO) di U.S. Chicago Board of Trade (CBOT) dan di China’s Dalian Commodity Exchange menyokong kenaikan harga MSM.
“Harga MSM juga dipengaruhi pergerakan harga minyak kacang soya kerana kedua-duanya bersaing di dalam pasaran minyak sayuran global.
“Peningkatan harga ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah memanfaat pekebun dan pemain industri sawit di Malaysia yang mana kita semua maklum rakyat bergelut dengan sumber kewangan akibat Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

