BN kekal istiqamah bersama PM – Annuar

0
3

BARISAN Nasional (BN) kekal istiqamah untuk bersama-sama kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemuafakatan akan terus diperkasa dan parti itu akan terus bersama kerajaan yang diperkenankan.

“Permuafakatan terus diperkasakan. Pastinya ia mengecewakan Pakatan Harapan (PH).

“Yang silap, kita perbetulkan, yang lemah boleh diperkasakan, yang renggang kita rapatkan… bersama, kita memimpin… mohon kerahmatan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Annuar berkata, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap hari, sekali gus memantau dan mengarahkan setiap perincian.

“Kuat bekerja, tekun dan sabar serta sentiasa berdoa kepada Allah ialah antara sifat terpuji dalam memimpin. Allah memberkati,” katanya.

Dalam ciapan lain, Annuar berkata, istiqamah mempunyai makna besar dalam perjuangan.

“Usah gadai prinsip asas kerana Umno itu satu wadah, bukan sekadar sebuah parti politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ahmad Zahid telah menakhodai bahtera Umno dalam situasi paling mencabar.

“Walau tanpa pangkat dan kedudukan, beliau memimpin parti dan mengembalikan ke tampuk kuasa, memenangi PRK (pilihan raya kecil) serta PRN (pilihan raya negeri) secara berganda, dan parti kekal berperanan besar mensejahterakan negara,” katanya.

Malam tadi, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MT yang berlangsung selama empat jam malam tadi. -Malaysiapost