
Muhammad Mustakim Ramli
MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa mengembalikan semula Majlis Menteri bagi memahami isu-isu yang berlaku di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan media Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur, berkata jika Annuar gagal mengembalikan majlis yang diwujudkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad itu ia bererti Annuar tidak mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.
“Kami ingin menekankan bahawa, sejak pelantikannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada Mac 2020, beliau belum lagi bertemu dengan ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk membincangkan isu-isu berkaitan pentadbiran di Kuala Lumpur meskipun permohonan telah dibuat.
“Kami ingin mengingatkan Annuar supaya mengutamakan aspek pentadbiran serta kepentingan rakyat di Kuala Lumpur.
“Sebagai permulaan, Annuar Musa perlu memanggil satu mesyuarat untuk membincangkan berhubung belanjawan tahun hadapan membabitkan kawasan-kawasan di Kuala Lumpur,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut, Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur sentiasa mengikuti dengan penuh minat ciapan politik berterusan Menteri Wilayah Persekutuan itu berkaitan percubaan Perikatan Nasional untuk pengisytiharan darurat.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Tan Kok Wai iaitu Ahli Parlimen Cheras; Fong Kui Lun (Bukit Bintang); Teresa Kok (Seputeh); Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju); Lim Lip Eng (Kepong); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); P Prabakaran (Parlimen Batu) dan Hannah Yeoh (Segambut). -Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama
