Najib akui minta Umno berunding dengan Anwar

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui meminta Umno berunding dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Perikatan Nasional (PN) menolak syarat yang ditetapkan parti itu sebelum ini.

Najib berkata, beliau juga berpendapat, Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah mencorak langkah yang salah untuk meminta darurat dalam usaha kekalkan kuasanya.

“Saya bimbang permintaan dia yang ditolak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu boleh menyebabkan Umno disalahkan pengundi.

“Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak PN, maka Umno perlu terbuka kepada rundingan dengan parti politik lain termasuk parti Anwar jika Umno masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, kata Najib, cadangannya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP dan ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini.

“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada bulan Februari lalu walaupun pada masa itu Bersatu merupakan musuh kita yang banyak mengambil Ahli Parlimen Umno. Kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?

“Syarat-syarat ini termasuk membuka jalan untuk Umno mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi, melihat pada masa kini Bersatu memonopoli jawatan PM, Menteri Kanan yang paling kanan, Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti Umno, PAS atau mana-mana parti lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan ini Umno boleh merangka pelan bantuan dan rangsangan ekonomi yang lebih efektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman serta mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera.

“Tetapi ia gagal dikeluarkan sejak sebulan dahulu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini amat parah.

“Follower FB saya juga faham saya sudah beberapa kali meluahkan kekecewaan saya dengan pengendalian Covid-19 kerajaan PN terutama untuk kluster-kluster penjara yang menyumbang bahagian paling besar kes Covid-19 dalam gelombang ketiga ini,” kata Najib

Katanya lagi, walaupun Umno tak terlibat dalam kementerian tersebut, Umno tentu akan disalahkan.

“Jika kita diberikan peranan lebih besar, kita boleh menyumbang kepada usaha untuk menyelesaikan kelemahan ini.

“Saya juga terbuka kepada pilihan untuk teruskan sokongan bersyarat kita kepada kerajaan PN sehingga PRU-15, tetapi kita perlu berunding semula syarat-syarat supaya Umno dan BN diberi peranan lebih besar terutamanya dalam hal ehwal berhubung rancangan ekonomi.

“Apapun, itu antara cadangan dan pendapat saya dalam mesyuarat hari ini. Terpulang kepada parti untuk menilai dan membincang cadangan ini,” katanya.

Tambahnya, sebagai orang parti, beliau akan terus menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang sedang bermesyuarat malam ini. -Malaysiapost