Perpaduan adalah penyelesaian, bukan darurat – Shafie

0
2

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa tindakan mengisytihar darurat bukan pilihan terbaik buat negara.

Beliau berkata, ekonomi negara akan terjejas jika keputusan darurat diambil.

“Kemusnahan ekonomi domestik dan global sehingga mempengaruhi kehidupan setiap rakyat Malaysia adalah musuh yang sebenarnya.

“Saya memohon kepada semua pemimpin di negara ini untuk mengetepikan perbezaan kita dan berkerjasama untuk mengatasi cabaran terbesar yang kita hadapi, dan mengutamakan raja, negara dan rakyat sebelum semua masalah lain.” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna turut menekankan bahawa keadaan darurat bukanlah pilihan yang terbaik sebaliknya perpaduan adalah jalan penyelesaian pada masa sukar ini.

Katanya, yang paling utama adalah semua bangsa harus maju dan tidak ada rakyat yang terpinggir.

“Perpaduan adalah jalan terbaik dan menasihatkan agar semua pihak menggunakan perbezaan agama, bangsa sebagai salah satu kekuatan untuk terus maju.

“Kita mungkin tidak sepakat dalam banyak hal, tetapi pada masa ini, saya rasa kita boleh bersetuju pada satu perkara, kita cinta negara kita.

“Semoga Allah memberi kita semua kebijaksanaan dan petunjuk untuk memilih jalan yang tepat untuk kepentingan negara,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang dipercayai berhubung pengisytiharan darurat.

Difahamkan, langkah kerajaan mengisytiharkan darurat itu bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang merekodkan peningkatan kes sejak seminggu lalu, selain meredakan ketegangan politik negara. -Malaysiapost