Aiman Hanif
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersepit. Tidak boleh dinafikan bahawa beliau kini berada dalam keadaan situasi paling sukar.
Tempoh tidak sampai dua minggu sebelum pembentangan Belanjawan 2021 awal November ini, dilihat sebagai kemuncak tekanan kepada Perdana Menteri dalam usaha mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya.
Majoriti tipis dengan 113 kerusi Parlimen, dalam situasi “kemelut” politik yang menyaksikan sokongan Umno terhadapnya tidak konsisten, agak mustahil untuk Belanjawan yang akan dibentang kelak dapat diluluskan.
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, secara jelas memberi bayangan yang beliau mungkin tidak akan “membantu” Muhyiddin.
Sesiapa pun jika berada di tempat Muhyiddin saat ini, pasti mencari jalan yang sama. Akan berusaha untuk mempertahankan kerajaan daripada tumbang di pertengahan jalanan.
Situasi sukar ini membuatkan Muhyiddin “tiada pilihan”, melainkan dengan memohon perkenanan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan “darurat kesihatan”.
Dengan situasi Covid-19 yang ketika ini kemuncak, adalah mustahil untuk Muhyiddin memohon perkenanan bagi membubarkan Parlimen. Rakyat akan marah jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan di tengah-tengah pandemik ketika ini.

Tiada yang memiliki majoriti
Tekanan terus memuncak kepada Muhyiddin supaya meletakkan jawatan kerana didakwa sudah tidak memiliki majoriti.
Asasnya memang ada, keengganan Muhyiddin berdepan undi tidak percaya boleh dijadikan sandaran bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu telah kehilangan sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Begitu juga dengan kenyataan beberapa pemimpin Umno seperti Tengku Razaleigh dan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz juga dilihat tidak memihak kepada Perdana Menteri.
Jika Muhyiddin sudah hilang majoriti, jadi siapa yang ada majoriti?
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan baharu. Majoriti itu berdasarkan kepada sokongan sebilangan Ahli Parlimen Umno.

Namun, beberapa hari lalu, Umno secara jelas menyatakan pendirian menyokong kerajaan PN. Pendirian terbaru Umno, BN itu secara jelas juga menjadi petunjuk bahawa Anwar kini juga tiada majoriti dan hilang sokongan Ahli Parlimen Umno.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga tiada majoriti. Beliau hanya memiliki sebilangan kecil kerusi dan sedikit sokongan Ahli Parlimen Warisan.
Jadi, jika semua tiada majoriti dalam situasi ini bermakna Parlimen akan tergantung. Jalan terbaik adalah PRU diadakan bagi mendapat mandat baharu yang lebih jelas.
Muhyiddin pastinya sedar akan perkara ini, Muhyiddin juga memahami situasi negara ketika ini. Sebab itulah “darurat” menjadi jalan terakhir meskipun segelintir pemimpin Umno “kurang senang” dengan keputusan itu.
Silap Muhyiddin tidak jaga Umno
Situasi cemas ini tidak akan berlaku jika Presiden Bersatu itu menjaga hubungannya dengan Umno.
Tapi malangnya, Muhyiddin tidak menjaga Umno selepas membentuk kerajaan baharu dengan sokongan Umno. Tidak boleh dinafikan Umno penyumbang kerusi paling banyak dalam kerajaan PN.
Kesilapan Muhyiddin bermula dari awal pembentukan Kabinet kerajaannya lagi apabila menteri dari Umno hanya diberi portfolio tidak penting. Malah, mereka yang membawa lari kerusi Umno diberi jawatan penting dalam kerajaan.
Umno terus “dibuli”. Bahkan Umno tidak dijemput dalam mesyuarat-mesyuarat penting kerajaan berkait dengan sektor ekonomi.
Bukan itu saja, Muhyiddin juga lebih banyak bergantung kepada “dua orang penasihatnya” dalam Kabinet yang semua orang tahu siapa dia.
Kemuncak, kemarahan Umno apabila Bersatu gagal memenuhi janjinya untuk melantik wakil Umno sebagai Ketua Menteri Sabah selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Begitu juga kegagalan Muhyiddin mengawal beberapa orang pemimpinnya yang cetek pengalaman dalam dunia politik seperti Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang mengeluarkan kenyataan “separuh masak” sehingga menyakiti hati rakan-rakan dalam Umno.
Jika Muhyiddin berjaya menjaga hubungan “kekeluargaan” dengan Umno, kesulitan dan kegusaran ini pasti tidak timbul.

Serah kepada kebijaksanaan Agong
Benteng terakhir rakyat Malaysia kini terserah kepada keputusan yang akan dibuat di Istana Negara petang ini.
Sekarang, kuasa Raja-Raja Melayu dan peranan Yang di-Pertuan Agong perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin. Ia menjadi penentu bukan saja kepada jatuh bangun sebuah kerajaan, tetapi kelangsungan rakyat.
Sudah pasti Istana Negara akan mengambil kira pelbagai aspek dalam membuat keputusannya nanti. Jika ‘darurat’ adalah jalan terbaik, rakyat tidak perlu gusar kerana ia sekadar ‘darurat kesihatan’.
Apa saja keputusannya kelak, hamba rakyat pasti akan menerima dengan hati terbuka dan sudah pasti keputusan Istana Negara akan mengambil kira dan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.- Malaysiapost



