
Aiman Hanif
Mesyuarat khas Kabinet hari ini dikatakan mempertimbang untuk mengumumkan darurat kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.
Menurut sumber, keputusan diambil bukan saja bagi mengekang penularan wabak berkenaan tetapi juga untuk memudahkan urusan kerajaan.
“Ya, cadangan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan,” katanya kepada Malaysiapost, ketika dihubungi.
Sumber memaklumkan, tiada isu rombakan Kabinet dibincangkan dalam pertemuan yang berlangsung pagi tadi.
Sebelum itu Malaysiapost melaporkan Mesyuarat Khas Kabinet hari ini berakhir pada jam 12.30 tengah hari tadi, namun beberapa menteri yang ditemui media enggan memberikan sebarang kenyataan.
Difahamkan, mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra, Putrajaya berlangsung kira-kira tiga jam dan berakhir jam 12.30 tengah hari.
Beberapa media melaporkan, kenderaan ahli Jemaah Menteri mula meninggalkan bangunan Perdana Putra, pada jam 12.45 tengah hari.
Beberapa menteri yang ditahan wakil media di luar Perdana Putra enggan memberi kenyataan apabila ditanya mengenai mesyuarat khas tersebut.
Selain itu sumber memaklumkan, pengisytiharan darurat kesihatan itu juga berkemungkinan sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung bulan November ini ditangguhkan.
“Sidang Parlimen juga mungkin akan ditangguhkan. Jika ada hanya untuk pembetangan Bajet saja,” katanya.
Tambah sumber lagi, ia sebagai usaha kerajaan untuk menyekat daripada sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan dalam masa terdekat nanti.- Malaysiapost
