Zahid berubah dalam tempoh 30 hari – Kit Siang

0
2

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang hairan dengan perubahan Presiden Umno dalam tempoh 30 hari lalu.

Ahli Parlimen Iskadar Puteri itu berkata, dalam tempoh 30 hari, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi ‘berubah’ dengan pelbagai kenyataan bertentangan khususnya berkaitan sokongan.

“Beliau semalam menegaskan semula sokongan Umno terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional.

“Bandingkan kenyataan Zahid pada 23 September yang mengatakan ramai ahli Parlimen Umno dan BN telah menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR.

“Mengapakah Zahid telah tunduk sepenuhnya sebegitu pantas sekali, hanya selepas 30 hari Game of Thrones Malaysia?,” katanya menerusi kenyataan.

Kit Siang mendakwa, mungkin bukan suatu kebetulan yang kenyataan Ahmad Zahid dikeluarkan hampir pada masa sama dengan mengumumkan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Pejabat Pendakwa Raya mengenai kes pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh menteri dari PAS.

“Mungkin pimpinan Umno mendapati yang mereka tidak akan mendapat sokongan daripada PAS dalam Game of Thrones ini.

“Jika perkara ini berlaku, mereka tidak boleh menjangka sokongan PAS mahupun blok Parlimen Umno untuk bersatu teguh menyokong apa-apa sahaja keputusan Zahid dan Najib Razak secara membuta tuli,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno akan terus bersama PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Beliau berkata, parti itu menetapkan pendirian untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi diutamakan.

Sebelum ini, Umno mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dipetik sebagai berkata Umno memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin. -Malaysiapost