Gencatan politik bukan bermaksud kalah – Salleh Keruak

0
2

GENCATAN politik yang diumumkan Presiden Umno mencerminkan semangat meletakkan kepentingan diri di belakang dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya, langkah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bukan bermaksud mengalah atau kalah, sebaliknya ahli politik dan parti perlu bekerja sebagai satu pasukan yang tidak mengambil kira aspek partisan.

“Ketepikan prejudis, bentuk satu pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini dikira juga sebagai norma baharu,” katanya menerusi blog sallehsaid.com.

Beliau berkata, sudah tiba bagi ahli politik membuktikan kesepakatan dalam membantu usaha menangani pandemik Covid-19 secara menyeluruh.

“Sekarang adalah masa untuk ahli politik menunjukkan kesatuan dan kesepakatan ketika negara diancam Covid-19.

“Tidak perlulah mempolitikkan setiap isu yang timbul. Tidak perlu lagi menuding jari, mencari salah siapa, tidak perlu lagi berebut kuasa.

“Isu penting seperti kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diletakkan sebagai fokus utama, termasuk keselamatan negara serta hala tuju ekonomi kita,” katanya. -Malaysiapost