PKPD 7 kampung di Semporna, Kunak dilanjutkan

0
1

Fitri Nizam

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti dekat Semporna dan Kunak, Sabah dilanjutkan sehingga 6 November.

Ia membabitkan Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau di Semporna serta Kampung Pengkalan di Kunak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata lokaliti terbabit sudah pun dikenakan PKPD sejak 11 Oktober lalu namun akan tamat pada 24 Oktober.

Bagaimanapun, beliau berkata, penilaian risiko dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat penularan wabak Covid-19 di kawasan terbabit.

“Justeru, atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, kerajaan bersetuju menyambung PKPD di lokasi terbabit untuk dua minggu lagi.

“Tempoh pelaksanaan PKPD di lokasi terbabit perlu disambung bagi membolehkan saringan kedua dilakukan KKM terhadap penduduk di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelonggaran juga diberikan iaitu membenarkan kedai-kedai runcit di lokaliti terbabit beroperasi untuk memudahkan pembelian barangan keperluan selain makanan. – Malaysiapost