Nurul Huda Abhar
SEMPENA hari lahir yang ke-38 semalam, Datuk Lee Chong Wei berhajat supaya perkhidmatan bekalan air di negara ini lebih baik dan berdoa agar situasi politik semasa kian pulih.
Menerusi catatan di Facebooknya semalam, jaguh badminton negara itu memuat naik foto meraikan hari lahir secara sederhana bersama isteri dan dua anaknya.
“Birthday (hari lahir) tahun ni agak special (istimewa). Covid-19 datang lagi. Travelling (melancong) tak dapat. Badminton tak jadi. Party (majlis) tak lepas. Air paip kering!
“Tapi mungkin sebab itulah minda tenang, dapat saya betul-betul ambil masa menghargai suara anak-anak ketawa. Senyuman isteri. Sembang nakal dengan mak. Kebahagiaan hidup simple (ringkas) sebenarnya, kan?,” tulisnya.
Atlet kelahiran Bagan Serai, Perak itu turut mendoakan kesejahteraan rakan-rakannya dan kekal bersabar dalam mengharungi pandemik Covid-19.
Menurut Chong Wei, dia berdoa agar masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di Lembah Klang dapat diatasi dan politik negara dalam keadaan terkawal
“Hajat hari jadi Chong Wei tahun ni, semoga semua kawan-kawan sihat-sejahtera, bersabar dan seronok-seronok selalu, bersama-sama kita tewaskan Covid-19.
“Biar tamak sikit tahun special ni, Semoga perkhidmatan bekalan air negara ditingkatkan, dan kestabilan politik negara. Terima kasih kepada semua yg mendoakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran,” ujarnya. – Malaysiapost

