Nurul Huda Abhar
PELAKON, Bella Dally, 29, menjelaskan berlaku kekeliruan mengenai isu dia dan rakannya ditahan polis kerana merentas negeri dengan berbasikal, baru-baru ini.
Menurut Bella, kekeliruan berlaku apabila dia dan seorang rakan berbasikal sekitar daerah Gombak berhampiran dengan sempadan negeri Selangor dan Pahang.
“Saya dan rakan melakukan aktiviti riadah berbasikal sekitar Gombak, berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua yang berdekatan dengan sempadan antara Selangor dan Pahang, Ahad lalu.
“Satu gambar telah dimuat naik di Instagram (IG) dengan kapsyen ‘wohoo Genting Sempah with..’ dan ia telah menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya telah merentas antara dua negeri dan melanggar PKPB,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pelakon itu menjelaskan beliau telah selesai memberi keterangan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Jelas pelakon kelahiran Kota Kinabalu itu dia sedia maklum terhadap kekeliruan yang berlaku dan ingin menjelaskan bahawa dia masih berada di Selangor dan tidak merentas sempadan antara dua negeri.
“Jika saya berada di sempadan negeri sudah tentu ada papan tanda dan garis sempan antara Selangor dan Pahang untuk rujukan.
“Apapun saya ambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul ekoran daripada “posting” di IG saya tempoh hari,” ujarnya.
Semalam, Malaysiapost melaporkan seorang pelakon wanita dan rakannya ditahan polis kerana berbasikal merentasi sempadan di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah pada 18 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe dalam kenyataan menjelaskan pihaknya menerima maklumat berhubung kes itu melalui hantaran yang dimuat naik pelakon wanita tersebut di laman IG.
Katanya, berdasarkan gambar itu pemilik akaun berkenaan merentasi negeri tanpa kebenaran pihak polis. -Malaysiapost

