Selangor cadang naik denda pencemar air

0
1

KERAJAAN Selangor bercadang menaikkan kadar hukuman sehingga RM1 juta melalui pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) terhadap pihak yang terbabit dalam pencemaran air.

Ia susulan, kejadian pencemaran air mentah di empat Loji Rawatan Air (LRA) baru-baru ini, yang menyebabkan lebih satu juta akaun di 1,292 kawasan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat terjejas bekalan air.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi pindaan itu, jumlah denda ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan dinaikkan menjadi minimum RM200,000 hingga maksimum RM1 juta.

Katanya, ketika ini undang-undang memperuntukkan jumlah denda maksimum RM500,000, namun tiada jumlah minimum ditetapkan.

Justeru, Amirudin berkata, cadangan pindaan itu akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan depan.

“November ini kita akan tingkatkan lebih tinggi (denda) selepas ia dibentangkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengarahkan Air Selangor meningkatkan proses pemantauan 24 jam sehari di dua lembangan berkaitan untuk mengelakkan kejadian pencemaran pada masa akan datang.

“Seramai 20 petugas sepenuh masa dan kontrak akan digerakkan untuk melaksanakan tugas itu.

“Justeru, kekerapan pengawasan terhadap kawasan itu akan bertambah dengan lebih baik, (jika berlaku pencemaran) kita dapat kesan lebih awal,” katanya.

Beliau berharap, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd akan mengenal pasti kawasan tertentu untuk dijadikan pusat pemantauan berkenaan.

“Kerajaan negeri berharap pemantauan berterusan ini akan dapat mengurangkan risiko pencemaran,” katanya.

Amirudin ketika ditanya mengenai kemungkinan Air Selangor memberikan diskaun kepada pengguna berikutan gangguan bekalan yang berlaku, beliau menjelaskan, pernah dibincangkan, namun keputusan mengenainya akan dibuat selepas ini.

Bagaimanapun, beliau membayangkan kerajaan negeri tidak cenderung kepada cadangan tersebut.

“Kalau kita bagi diskaun RM2 untuk setiap akaun, kami perlukan kos RM4 juta.

“Lebih baik kita gunakan RM4 juta ini untuk menambah pegawai yang boleh mengesan pencemaran sejak awal atau sekat laluan air daripada masuk ke loji dan pam keluar,” katanya. – Malaysiapost