Rapid KL kekal waktu operasi seperti biasa dalam tempoh PKPB

0
1

Nurul Huda Abhar

PERKHIDMATAN rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan terus beroperasi daripada jam 6 pagi hingga tengah malam dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan bagaimanapun kekerapan perkhidmatan dua pengangkutan itu akan disesuaikan mengikut permintaan semasa selaras PKPB yang diumumkan kerajaan.

“Operasi ini meliputi perkhidmatan rel urban LRT, MRT dan monorel; serta perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT.

“Pihak kami akan memantau rapi dengan keadaan aliran penumpang esok dan mengimbangi kapasiti dan permintaan semasa dalam menentukan kekerapan tren dan bas untuk esok dan hari-hari berikutnya.

“Prasarana akan mengeluarkan kenyataan media susulan Jumaat ini bagi memaklumkan maklumat terkini berdasarkan aliran penumpang pada hari esok,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-78852585 atau layari laman sesawang myrapid.com.my.

“Serta boleh ikuti platform media sosial kami di Facebook myrapid dan twitter @askRapidKL bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan,” katanya. -Malaysiapost