Macau Scam: Plaza Low Yatt jadi lokasi utama Addy Kanna dan Alvin

0
1

PUSAT beli belah Plaza Low Yatt yang bertempat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dipercayai menjadi lokasi untuk menyedia barangan computer dan gajet telekomunikasi bagi kegiatan Macau Scam dan judi atas talian oleh Alvin Goh dan Addy Kanna.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata Alvin bertugas sebagai pegawai keselamatan di plaza berkenaan membolehkan dia mempunyai keseluruhan akses dalam bangunan itu.

Menurutnya, ia memudahkan dia mendapatkan segala barangan yang diperlukan untuk kegunaan sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat panggilan (calling centre) Macau Scam, judi online dan penipuan pelaburan matawang asing (forex).

“Ya, peranan Alvin dan Addy Kanna sebagai koordinator adalah mudah berdasarkan kepentingan Alvin di Plaza Low Yatt.

“Jadi pihak polis tidak menolak kemungkinan kelebihan yang dimiliki maka dia menjadi pilihan sindiket antarabangsa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Huzir berkata, sehubungan itu, pihak polis Kontinjen Kuala Lumpur turut memantau rapi dan melakukan pemeriksaan di plaza berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Alvin.

Mengulas lanjut, katanya, usaha memburu Alvin Goh sedang giat dijalankan selepas melarikan diri semasa dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Peranan Alvin dan Addy Kanna sebagai koordinator adalah untuk menyediakan kelengkapan komputer, internet, telekomunikasi dan kediaman serta logistik bagi memudahkan kegiatan Macau Scam dan judi online di China dapat dijalankan,” ujarnya. -Malaysiapost