Nurul Huda Abhar
PELAKON dan pengacara, Zulin Aziz memaklumkan bahawa dirinya bukan antara selebriti akan dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) berhubung kes Macau Scam yang tular baru-baru ini.
Zulin melalui catatan di Instagramnya, meluahkan rasa kecewa kerana tuduhan yang dilemparkan itu, walaupun telah berkali-kali menerangkan bahawa dirinya tiada kaitan langsung dengan suspek tersebut.
“Apalah salah dosa aku? Korang fitnah aku bertubi-tubi, cakap memalukanlah apalah…Selagi tak disebut nama, selagi tu netizen buat andaian dan fitnah aku.
“Di sini saya jelaskan, saya tidak pernah dipanggil untuk bantu siasatan oleh @sprm.community. Saya tidak ada kena mengena dengan sindiket itu malah tidak pernah menjalankan perniagaan dengan mereka,” tulisnya semalam.
Pelakon itu juga membuat penjelasan bahawa perniagaan yang dipromosikan selama ini tiada hubung kait dengan pasangan “scammer” tersebut.
Bekas penyampai radio SuriaFM itu berkata, orang ramai membuat tuduhan kepadanya hanya kerana dia pernah memuatnaik gambar bersama suspek.
“Dmagia, bisnes yang saya usahakan ini adalah kerjasama saya dengan syarikat Sireh Emas, boleh google kalau tak tahu.
“Saya tidak pernah dipanggil, terlibat dan ada kena mengena. Susulan dari kes ini, gambar saya disebarkan netizen hanya kerana saya mengenali mereka.
“Anda juga pernah ada kenalan. Kalau @emeliehanif_ ke @ayranasir_official ke kena tangkap, logiklah saya dipanggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.
Mengulas lanjut, Zulin, 31, juga bersedia untuk memberi sebarang keterangan jika benar nama tersenarai antara selebriti yang akan dipanggil SPRM.
“Kalau saya diminta untuk bagi keterangan, apa yang saya boleh kongsi, saya pernah pergi majlis hari jadi anaknya, saya pernah bercuti di Itali pakai duit sendiri dan saya pernah masakkan mereka asam pedas ikan pari.
“Saya memang suka berkawan dan melakukan hal yang sama dengan semua. Sesiapa saja yang berkawan dengan saya, saya masak untuk mereka, saya pergi ke majlis yang dijemput dan jika diajak bercuti, sekiranya ada kelapangan, saya pergi.
“Saya juga menjaga batas pergaulan. Yang paling rapat dengan saya anda boleh tengok sendiri aktiviti harian saya di Instagram,” ujarnya.
Pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut menegaskan tiada apa yang perlu ditakutkan kerana dia percaya berada dipihak yang benar.
Sementara itu, Zulin meminta pihak luar berhenti membuat andaian mengenai dia menggunakan duit haram, kerana semua rezeki yang diperolehi selama ini adalah daripada titik peluhnya sendiri.
“Saya berani kerana benar. Saya mencari rezeki yang halal dengan meniaga, berlakon, buat review, masak.
“Saya tidak pernah menayang kemewahan dan saya menjalani kehidupan serba sederhana. Saya harap dengan apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak buat anda berfikir.
“Tidak ada apa lagi yang nak dikatakan, cukuplah karangan ini dari saya buat netizen di luar sana,” tutupnya.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan dua selebriti terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Artis lelaki dan wanita itu akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela. – Malaysiapost

